Memaparkan catatan dengan label Jiwaku Longkang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jiwaku Longkang. Papar semua catatan

Rabu, 21 Ogos 2013

Jiwaku Longkang 6...

Berlari jari terpelecuk lebam
mengira membilang sehingga enam;
Satu dua senang diterkam
tiga empat membungkam;
Menutup mulut sehingga diam.

Mungkin?
Kataku acuh tak acuh
masih lagi membancuh
air panas sehingga lecuh.

Aku lihat kesan di cermin
bagi menaiki jinjang pelamin
seperti biasa membilang hitungan min.

"Adakah luka?" tanya aku tercengang
sambil mengusap jari kejang;
Dia masih diam bergerak-gerak pandang
lenggok bibir sama dendang.

Aku berbisik "Kau bersuaralah"
bagai hilang arah kiri kanan dilihat sama parah;
Dia gerak kata "Kau bersuaralah"
aku diam kejang menempang jari pantas mengosok-gosok lilah.

Aku dengar sana, aku dengar sini
semakin hari arahku tidak pasti;
Mungkin memilih menongkrong
tidak perlu bersengkang.

Jiwaku longkang
tempat mengalirkan barang buang;
Kau dulu ada sekarang dibuang ada pada aku
saban masa ada tidak perlu melihat waktu.

Jiwaku Longkang 5...

Sepi membangkangku pergi
diajar duduk bersila segi
menjadi kial jari menyusun sakti;
Tengkarap bukan penghalang
jiwaku longkang tidaklah walang.

Keranaku cuba menafsir
aroma berbau hanyir;
Bak ombak menghempas pasir
sikit demi sikit tersisir.

Biar berkali wajah tersingkap di cermin
tidak sekaliku hirau meracau malahku hitung dengan min;
Mungkin aku terpedaya dek permainan
maka kumainkan bagai boneka ada tuan
kerana jiwaku longkang penuh kotoran
perlu digali tanam tidaklah bau merebak ke taman.

Kau harum bak bunga
dijaga penuh bangga;
Ingatlah esok apabila layu
apakah mungkin dibaling ke longkang bagai melepas bayu?
Aku tidak mengapa kerana jiwaku longkang
kau yang harum perlu siap bertandang.

Jiwaku Longkang 4...

Aku tatap makin sayangmenguntum harum bunga dipadang lapang;
Itu semua mainan lidah
memutar kata bagai sampah.

Jiwaku longkang
acapkali terlentang;
Lapisan demi lapisan aku daki menghias bintang
aku dongak masih kosong terbentang.

Jeritku tanya,
mana katanya ada?
Melatih liar menjinak dengan ramah mesra
moga terjumpa dengan rasa
makanan serba terpeliraha;
Bukan saki baki basi diberi malah semua dikongsi
tanpa ada selindung menguasai.

Mungkin?
Tidak terlihat wajah dipantulkan ke cermin
namun acapkali membilang min... min,
"Kau itulah aku." katanya sambil mengepak tangan
berdoa barangkali pada tuhan
dengan perkataan penuh kesamaan.

Kecik besar dikira rata
masih menadah dan meminta;
Jiwaku longkang acapkali terlentang
terbang memasuki ruang larang;
"Kau itulah aku." Aku berkata sambil membilang
masihkah sempat menghirup ruang;
Atau tersadai tidak pulang.

Jiwaku Longkang 3...

Semalaman aku duduk menggangsir
membuang bau hanyir;
Disindir, disindir
bagai lurus bendul pak pandir;
Tersenyum, tersenyum tetap senyum terukir.

Jiwaku longkang
penuh berbau malang;
Mujur ia sentiasa ditatang
dengan aroma pedih perit susung walang;
Lara hiba bola mainan padang
sepak terajang ditendang.

Aku masih duduk
bongkok, meringkuk di dalam lubang lekuk;
Mungkin mencari saki baki cahaya dibalik cermin
agar dapat menghitung panjang angka... min;
Supaya tercacat namaku keakuanku
jika begitu tergulunglah simpul tidak ketemu;
Kau masih tersenyum membenarkan rongga buka
membiak baka.

Mungkin?
Ketidakpastian menenggelamkan
namun, di dasar lautan
dalamnya ada kehidupan;
Apakah aku tidak pasti apabila berada dikedalaman?
atau hanya merasa di dalam lingkungan perawangan?

Kau ada, aku dimana?
Mungkin jiwaku longkang
masih tidak mengenal bayang
warna hitam putih kelabu dipilih memang senang.

Jiwaku Longkang 2...

Mungkin?
Adakah aku bermain tarik tali
tidak pasti antara putus mahupun terpatri;
Teragak-agak merangkak takut tertembak
lemahnya diri bersembunyi takut dilambung ombak.

Kecil semakin kecil aku
jiwaku longkang tidak laku;
Hanya duduk memerhati cermin
membilang min min... bergeming;
Tidak gerak akal pusing.

Kau kata akan aku lihat
namun mengapa aku terpahat?
Di paku bertalu-talu
mengerat memancung dibubuh selumbar sembilu
ditelapak tangan mengira di mana aku.

Mungkin?
Aku menggigil tak pasti
atau ketakutan penuh tanda jadi;
Kau kanan dia kiri
aku ditengah-tengah masih mengali
menutup longkang berbau basi.

Jiwaku Longkang...

Mungkin jiwaku longkang,
terbongkang;
Lentok terkulai lentang
dimamah saki baki larang.

Namun, kau dengarkan aku;
Tidak sekalipun terlintas
pantas lintang mencantas.

Tidak sekali aku peraga
jiwa dengan hanya ternganga;
Membenarkan cerita dusta
memerah sebati setia tanpa bantah kata.

Kau menyuruh memandang cermin
lihat aku sedalamnya min;
Hitung panjang angka
dan aku hanya menyangka
itu aku tersepit dalam sangkar tidak dibuka;
Kau tersenyum masih membenarkan buka.

Mungkin jiwaku longkang
tidak kelihatan terang terbentang;
Mungkin aku lihat matahari
dengan menutup mata bukan hati.