Rabu, 22 Mei 2013

Jumaat, 17 Mei 2013

Selasa, 14 Mei 2013

Isnin, 13 Mei 2013

Ahad, 12 Mei 2013

Sabtu, 11 Mei 2013

Ahad, 5 Mei 2013

Mungkinkah Berubah?


Sejarah silam
dikenang dalam-dalam;
Berpaling bukanlah ertinya keganasan
berubah demi masa depan.

Siapa kita
punya minda akal mata
rintihan demi rintihan
berlaga dalam ketandusan
mana laungan
mana selogan
"Islam panji kehidupan"

Sana sini anak muda liar menari
itukah kita ingin lihat seribu tahun nanti;
atau bersorak ~ Teruskan wahai anak bangsa
melayulah agama, Islam sekadar nama.

Fitnah demi fitnah
nanah di makan bagai indah;
Ia tahu, ia mengerti
namun esok bukanlah hari mati
maka teruslah ia berbakti.

Pejamkan mata ~ bukakan
perlahan-lahan;
Tegaslah kau dalam memilih
untuk islam atau meraih
kesenangan dunia sekilas singgah.

Mungkinkah berubah?
bukan bererti sekadar bersegak dengan jubah
berubah dari ketulusan semata Allah.

Sabtu, 4 Mei 2013

Lagu Duri...


Dalam sendu berbunyi lagu
hadiah kiriman kuntuman rindu
aku utus pembuka kalbu

Melalui rintik hujan
angin bayu kejan
hantukan semalam yang memenjan

Sayang salurku memercik
yang datang meracik
illusi diantara bibir licik
fungsi asas rangka kecik
fana dibadai dunia licik

Lincah menguri
alunan lagu duri
hayunan diam curi

Kunci Maling (Pembuka Segala Mangga)


Kau datang sekilas pandang
menjelma dan hilang
beredup di dahan rendang

Kasihmu bersusun di sirih pinang
menunggu kapur bersama gambir;
Memanjat damai dikelopak linang
hanya menitiskan hujan di bibir.

Rintik-rintik ~ satu dua tiga
empat bersegi tiga
dibilang ditokok dikira
turun lagi ia semakin terpesona
basah wajah mencari kira
datang lagi kusut fikiran ~ gila

Ranting semalam kian melenting
patah di siku batu berbaling;
Kau penyebab aku culang-caling
rindu menagih kunci maling.

Biarpun palsu hikayat laksamana
tetap keris aku asah permana;
~ Senjata terjana, aku merana
membidas pepasir yang berona.

Hari ini aku memandang dahan
tempat redup ditumpang tahan;
Kau membuka wajah perlahan-lahan
andai benar bertemulah dipersinggahan.

Aku Bagai Kawa-Kawa...


Ombak menghempas
bukanlah bagai hampas;
Kakiku terpaksa diurut
mengikut jejak berturut-turut.

Jangan kau kecewa
andai aku bagai kawa-kawa;
Menghias kediaman dengan sawang
yang hanya bermain di awang-awang.

Bumiku pijak, langitku junjung
bukankah itu kata sanjung;
Hati berwarna pelangi
namun corak diselang-selangi
turut hadir kerana hujan pergi.

Aku jalan sendiri
dibekalkan sifat kendiri;
Namun itu bukanlah bermakna
aku melangkaui sukma ~ kekal lama.

Aku bagai kawa-kawa
memasang kait pelawa
memegang sesuatu untuk bawa
namun itu semua ~ hanya untuk kau kelihatan lawa.

Manisan Tersisir...


Tiada dapat aku ukir
manisan yang tersisir;
Ombak ligat datang
membenam bahtera hingga berbunyi letang.

Tidakkah dapat kau rasa
cuka semanis gula;
Keluahan yang resah
bukanlah bererti gundah
dan mencanakkan buih punah.

Sejauh mana lari
memacak tiang seragam selari;
Ombak ligat datang pasti
bengkok kanan mahupun kiri
andai ia tegak berdiri
itu hanya angin menari.

Usah disalahkan hujan
kerana menimpakan kejan.

Si Kunani Ayam Kenantan...


Aku susun jari
bukan mengira
atau merangkak cari;
Biarlah bulan lari
dan mendung rancak tari
menghalau bari-bari.

Sekilas pandang
rintik di tanah lapang
antara kurang atau berbunyi derang;
Dari awal ia capang ~ tempang
berpura-pura duduk tumpang
di seberang ia ligat menopang.

Cukuplah sampai sini
ombak bergelombang seni;
Si kunani ayam kenantan
hanya mencakar catan
langsung tiada ada katan.

Khamis, 2 Mei 2013

Hujan..


Awan mendukung air jernih
begitu juga hati dalam rintih;
Namun jelasnya hanya merekah bertih
meletup-letup mendidih;
Sarang labah ~ tindih-tindih.

Semalam aku cuba lena
berbaring di atas kejora;
Namun itu hanya dibilas bayang
basah tubuh diangkut gersang;
Lobang berlopak ~ aku berkubang.

Aku tertanya sambil pejam
hujan turun pembawa malam?
~ akhirnya diam
dingin panas seragam.

Umpama...


Hilang bulan
petunjuk jalan;
Kering lautan
bahtera diam karam di persimpangan.

Kasih,
sebak yang terbuka
mengalir jelas titis muka
sepenuh-penuh luka
bagai gula ~ aku rasa cuka

Kasih,
hadiahkan aku sejambak kata
dalam senda di sebalik mata;
Dinding kukuh tidak runtuh
andai runtuh ~ aku jatuh.

Bak pujangga pernah berbahasa,
"Turunkan hujan kata
seragam penuh sekata
dibuka sana ada
dibuka sini ada
ditutup sana ada
ditutup sini ada
aku khuatir ia melihat tengah lopong tiada
maka turunkanlah hujan kata"

Sejuta seri bunga melati
berjalan deras di atas titi
lambat ~ cepat ~ berhati-hati
mahupun langusng ia berhenti
satu masa ia pasti mati

Umpama perahu melawan ombak
satu ~ lepas sebak
dua ~ lega setapak
tiga ~ suka merebak
empat ~ hadir tombak
lima ~ masih perlukah ada bak (umpama)?