Khamis, 21 Februari 2013

Jalan Di Penuhi Batu...


seperti tanah yang rata dipenuhi dengan batu, hendak berjalan di tempat yang rata perlu mengalihkan batu yang ada diatasnya, maka aku mengalihkan... penat bahu kanan, bahu kiri pula yang mengangkat, begitulah saban masa aku lakukan agar perjalanan yang aku lalui menjadi rata, sehinggalah aku berasa penat, maka aku berehat... aku memerhati kebelakang berapa masa aku melalui jalan ini sehingga sampai ke sini, bukankah jika aku membiarkan batu itu berada ditempatnya dan aku melalui diatasnya menjadikan perjalanan aku semakin cepat? aku bertanya sendirian...

dengan pengalaman itu, menjadikan aku membiarkan batu-batu itu menghalang perjalanan, dan aku cuba melepasinya dan ternyata semakin cepat masa yang diambil  kerana aku tidak perlu bersusah payah untuk mengalihkan agar jalan aku menjadi rata dan jalan yang lain menjadi bertimbun dengan batu yang ada di atas jalan aku... terdetik hatiku berkata andai satu hari ada yang melalui jalannya dan dihalangi dengan batu yang aku letak diatas jalannya, apakah yang akan dikatakan? andai dia melemparkan senyuman kearah aku dan berkata "bersyukur, kau telah letakkannya untuk aku merasa beratnya yang tidak pernah aku rasa." namun andai aku menerima cacian dan hinaan, bagaimana jalan yang akan berada dihadapanku?

saban hari jalan yang aku lalui menjadi pertanyaan, semakin bertimbun batu menghiasi jalan yang aku ingin tuju, namun itu tidak mematahkan semangat, kerana aku mempunyai kaki, namun apabila sesuatu mendatangi aku, dan bayangan itu menerjah... dihadapan aku akan ada satu gunung yang dipenuhi batu, dan di hadapannya pula akan ada jalan yang disirami dengan batu dan lautan ombak menghempas setiap satu batu itu, aku tergamam dan kaki menjadi kaku, tiada kata-kata yang dapat aku katakan...

masa berganti masa, begitu juga aku perlu meneruskan perjalanan, sukar mahupun tidak destinasi yang ingin dituju tetap perlu diteruskan, mengalah tanpa bermain, ibarat tidur tapi tidak lena... inginkan kepuasan maka teruslah berjalan, satu persatu batu itu aku daki, nyaris terpelecuk mujur batu itu juga menjadi penahan, sekian lama aku mendaki akhirnya tiba melihat puncak, dipuncak itu aku melihat limpahan batu, dan setiap batu yang jatuh itu dihempas dengan lautan ombak, aku bertanya mampukah aku melepasinya?

dengan bekalan pengalaman dan pengajaran yang aku terima disetiap pejalanan, aku kumpul moga menjadi payung, belum melangkah kaki aku mula menunjukkan kesakitan, aku rebah... sudah tiada kaki untuk menjadi tongkat, aku melihat telapak tangan, maka berdetik hati berkata, akan aku mengunakan tangan agar dapat merangkak, aku ingin lihat betapa indah tempat itu, jika tangan ini tidak mampu badan aku akan cuba mengesot, jika tidak mampu, telah dianugerahkan akal untuk berfikir maka aku akan meminta simpati sesiapa sahaja yang terlihat akan aku untuk bawakan aku kesana, andai tiada jua jalan dan gelap sekelilingku, maka disitulah penamatnya...

dan apabila aku dibukakan semula, dan aku sudah sampai ketempat tuju... maka akan menjadi tanda tanya bagiku, siapa yang membawa aku ke sini? pastilah mereka yang menyusung aku hingga ke sini, dan bagi mereka yang mengangkat jenazah sehingga penghabisan, mereka itulah manusia-manusia yang akan melihat tempat ini sebelum aku...

0 ulasan:

Catat Ulasan