Isnin, 3 Januari 2011

Seru Angin Kala Badai Melanda...

Miqael Arshad Mudarus:
Keratan resah dibenam desak,
Memukul dinding hati dengan kiasan nan melulu,
Semakin padah tatkala menghimpun insaf,
Begini hebat dugaan Tuhan,

Dhamah Syifflah:
Ombak melakar arus deras,
Mengasak-asak bahtera agar berganjak,
Walau semakin parah disulam darah,
Cintanya pada Allah tidak pudar,

Miqael Arshad Mudarus:
Selafaz janji sebelum kelahiran usah dilupa,
Luh mahfuz segala bersama menjadi renungan,
Bagai sisa hidup pada kelopak mata,
Lama-lama akan tertutup juga,
Maka dia ikhlas bersujud,

Dhamah Syifflah:
Biarpun jauh mengusung rindu,
Mendaki gunung mencari rupa,
Walau tidak bertentang mata,
Dekat hati berkelopak cahaya,
Bersinar wajah dalam kelam,

Miqael Arshad Mudarus:
Dengup jantung mula deras kala khalimah itu terucap,
Lorong hitam terus ditinggalkan kini,
Mencari taman indah melapang dada,
Entah bila hari itu akan tiba,
Yang akan melenyapkan segalanya,

Dhamah Syifflah:
Kau aku punya cerita,
Walau beza tetap sama,
Keratan resah yang kau bina,
Menimbulkan kiasan menghimpunkan taubatan,
Menjadilah sama tidak terpisah,
Gelap terang bisa kelihatan wajah,
Kau itulah aku...

(Miqael Arshad Mudarus & Dhamah Syifflah)

0 ulasan:

Catat Ulasan